Tuesday 22 November 2011

Ke mana Pelaburan kita.....

Salam Ma'al Hijrah...

"Semoga kita diberi Allah Rahmat dan barakah dalam menghijrahkan kehidupan dunia ini menjadi nilai keselamatan dan kebahagian di dalam kehidupan akhirat kelak..."

Sepanjang menongkak arus kerjaya pendidikan dan bekerja dengan
" Boss " yang tak pernah disentuh tidur , Allah yang amat berkuasa menghidupkan dan amat berkuasa mematikan , hati ku jadi goncang dengan peringatan yang diberi ...

" Wahai penanggungjawab anak , jika anda lemparkan tanggongjawab pendidikan mereka ke tempat-tempat asuhan anak , saya khawatir anda akan menerima siksa ganda. Siksa pedih sebab anda membiarkan mereka yang bersih itu menjadi tercemar dan balasan setimpal akibat perlakuan anda yang keji itu. "

Wahai ibubapa ...' mendidik ' merupakan kerja asas kita. Didikan bermula dari taman-taman perkahwinan kita yang tidak boleh dilemparkan pada orang lain biarpun anak-anak telah di hantar ke tadika. Asasnya adalah kita dan persekitaran hanya menjadi kerangka sokongan pada yang baik mahupun yang buruk.

Bergalaskan tugas mendidik , aku juga sebahagian kerangka tersebut yang berjuang memupuk dan membina nilai supaya menjadi seharum bunga , indah di mata , mekar di hati dan semerbak dihidu. Yang indah , yang mekar dan semerbak harumnya adalah iman dan bekerja untuk Islam dan kembali ke tempat asal kita di syurga....

Bergelar sebuah institusi pendidikan di mata masyarakat bermakna kita mempunyai komitmen yang amat berat menuntun kita jelas arah yang dituju untuk membawa anak-anak didik mengenali Allah yang satu. MentaatiNYa dan hidup mati , kerja buat hanya untukNya.

Sekadar menyediakan aktiviti untuk mengasah kebolehan membaca , mengira dan menulis tidaklah membawakan kepada kemahiran seimbang seorang kanak-kanak. Ingin anak-anak berkebolehan menaakul ? Menaakul dikatakan tahap yang ingin dicapai dalam pendidikan negara. Menaakul yang bagaimana yang diingini ? Menaakul berbalik kepada nilai yang diberi. Menaakul berkait juga dengan aras pemikiran kanak-kanak.

Apa saja istilah dan kebolehan yang ingin dicapai biarlah ianya berpusat pada ' mengenal Allah dan bekerja buat ' mentauhidkan Allah. Menuju satu aqidah , satu cara hidup , satu nilai dan adab yang berpaksi kepada Al Quran dan As Sunah. Hanya dengan tunjang ini sahajalah yang bisa membebaskan kita dari ancaman siksa yang dahsyat dari Allah iaitu api neraka. Kemenjadian anak-anak didik seperti inilah sepatutnya menjadi matlamat penubuhan semua institusi pendidikan seperti TASKA dan TADIKA.


Semoga pelaburan kita memberikan kita pencen di dalam kubur nanti. Marilah kita renung-renungkan apakah perginya kita ke alam baqa' nanti , anak-anak yang ditinggalkan itu menjadi aset ataupun tanggongan kita? Apakah mereka menghantarkan kita harta untuk berbelanja di kubur atau mereka membuat kita muflis??

Allahu'alam.