Sunday 8 August 2010

Cara Apa Kita Titiskan Ilmu....

Dengan nama Allah Al Jalil , Pemilik segala kebesaran.

Terasa diri ini cukup kerdil bila menelusuri ilmuNya. Lagi kugali maka lagilah aku cemas kerana kejahilan tentang kebesaranNya. Asma' Nya cukup menakjubkan aku.
Dengan umurku dan ilmuku ini , terasa cukup dangkal dek kerapuhan iman.

Lantaran inilah , membuatkan aku terpinggir dari 'kejemuan'
dalam usaha-usaha menyingkap tabir makrifahtullah.
Tetap kugenggam nekad mendidik permata-permata hatiku di tadika dengan 'kefitrahanannya '.

" Begitu lahirnya, seorang bayi mulai menggali lingkungan dan orang-orang terdekatnya. Jiwa mereka yang masih lembut itu akan sangat mudah dan dicorakkan oleh lingkungan pertamanya. ." petikan dari buku " Cara Nabi MENDIDIK ANAK "

Anak-anak ini akan menerima apa saja yang kita titiskan dari ilmu yang ada. Titisan-titisan ilmu itu ibarat titisnya air di atas batu. Lama-lama berbekas jua.

Wahai para pendidik , jika titisanmu adalah titisan ' fitrah ' maka kalian membenarkan terainya fitrah anak-anak didik kalian. Akan tetapi andainya titisan kalian adalah ' acuan' kalian sendiri maka ' fitrah ' itu teraniaya. Ramai yang mendidik anak-anak tadikanya hanya ikut sangka-sangkaannya sahaja. Maka tidak kepelekanlah makin banyak institusi Pendidikan Awal tumbuh bak cendawan maka makin berkulat jualah akhlak dan aqidah anak-anak.

Marilah kita lalui denai-denai ini dengan tapak-tapak kesedaran tentang kaedah mendidik anak-anak dengan naluri mereka bukan dengan kaca mata kita yang telah dikulatkan dengan pelbagai hidangan yang menghambat ketangkasan minda semata.

Allahu'alam.

Saturday 15 May 2010

Wednesday 27 January 2010

MERAIKAN FITRAH ANAK-ANAK

"iiiyekkk ! Pe Anas main pasir ni ? bangun , bangun ! cepat basuh tangan tu , kotor! Nanti cacing la..iee kuman-kuman , dah..dah.... "

" Cik gu , anak saya ni , saya tak benarkan bermain pasir ye. Takut nanti kena kudis-kudis dan gatal-gatal.."


Ada anak-anak yang diberi persepsi yang tidak tepat seperti dialog di atas, memang tak mahu bermain dengan pasir apabila dibawa ke ruang bermain pasir. Bersih atau kotor adalah bergantung pada pengurusan kita.

Ruang bermain pasir hendaklah dijaga kebersihannya iaitu bebas dari najis dan kotoran-kotoran lain. Pengudaraan yang mencukupi supaya air boleh tersejat apabila pasir basah selepas bermain. Kebiasaannya pasir pantai digunakan kerana halus dan bersih serta mudah diadunkan dengan air. Tadika Elitsuria sanggup ke pantai Melawi memunggah pasir demi
meraikan fitrah anak-anak didik kami. Insya Allah sabtu ini , kami akan ke sana lagi.


Anak-anak hendaklah dimaklumkan dengan peraturan bermain pasir. Kuku hendaklah dipotong pendek. Memakai selipar. Menggunakan peralatan bermain pasir yang disediakan. Pasir tidak boleh dibaling ke arah kawan. " Pasir bukan makanan. Jadi tak bolehlah dimasukkan ke dalam mulut ." Begitulah anak-anak dididik. "


Ruang yang sesuai dengan jumlah anak supaya anak-anak selesa bermain. Selepas bermain , kibas semua pasir yang terlekat pada pakaian dan badan. Basuh dan sabun tangan sebersihnya. Ingat lap tangan kering-kering dik.





Bukan senang untuk mendapat sukatan air supaya pasir teradun dengan baik. Anak-anak belajar mengadun. Mengadun bermakna belajar mencipta fomurla sendiri . Boleh jadi pereka ciptalah nanti. Kreatif dan inovatif. Psikomotor dan koordinasi mata tangan juga akan teransang dan matang. " Main pasir dulu , baru belajar pegang pensel yek dik.."


Emosi
anak-anak paling diraikan...ye meneroka ciptaan Allah dan bebas berusaha menghasilkan apa yang diingini. Try and error suatu yang lumrah bagi anak-anak. Di sinilah ilmu dan pengalaman disatukan.


" Cik gu ,cik gu ! tengok...dah jadi ketam Alia. " Masya Allah ,...kreatif Alia. " Alia tersengih bangga. Satu kepuasan yang tidak terhingga bagi anak-anak apabila berjaya dan dihargai hasil kerjanya. Inilah sokongan emosi. Dengan sokongan emosi anak mampu berkembang dengan baik malah sokongan ini lebih menyerlah daripada sokongan material.

Allahu'alam.